Tuesday, March 17, 2009

KEINDAHAN ALAM SEMULA JADI


PAHANG sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung, kaya dengan khazanah hutan dan keindahan alam semula jadi yang menawarkan pelbagai destinasi pelancongan menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

Janda Baik belum diusik - Interest Group Pahang (IGP)
Kelebihan yang dimiliki Pahang sukar ditandingi kerana ia bukan saja menawarkan destinasi pelancongan berasaskan ekologi melalui hutannya yang asli malah khazanah tanah tinggi, sungainya yang mencabar penggemar sukan air, pantainya yang luas dengan pasirnya memutih serta gugusan pulau belum diusik pembangunan.

Keunikan yang dimiliki Pahang membolehkannya mengetengahkan pelbagai alternatif kepada pelancong untuk memilih destinasi percutian yang sesuai dengan kehendak mereka.

Nama Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Fraser, Taman Negara, Sungai Pahang, Sungai Lembing, Gunung Tahan, Teluk Cempedak, Cherating dan Pulau Tioman kini terpahat sebagai destinasi pelancongan yang menarik dalam peta pelancongan dunia.

Janda Baik belum diusik - Interest Group Pahang (IGP)BANGLO mewah di Tanarimba,
Janda Baik.


Bagi penduduk di Pantai Barat Semenanjung, kawasan Janda Baik di Bentong menjadi satu lagi daya tarikan mereka untuk ke Pahang.

Terletak kira-kira 27 kilometer dari Kuala Lumpur, Janda Baik bukan saja unik kerana namanya tetapi juga kerana keunikan kawasan itu yang kaya dengan keindahan flora dan fauna.

Berada pada ketinggian antara 600 dan 800 meter dari aras laut, Janda Baik menikmati udara yang nyaman dan sejuk iaitu kira-kira 28 darjah Celsius pada waktu siang dan 22 darjah Celsius pada waktu malam.

Dikelilingi hutan hujan tropika, Janda Baik menawarkan pakej percutian menarik kepada pelancong yang inginkan kedamaian dan ketenangan.

Bagi pelancong dari Pantai Barat, terutama Kuala Lumpur, perjalanan untuk sampai ke Janda Baik hanya mengambil masa kira-kira 45 minit melalui Lebuh Raya Karak. Suasana yang nyaman dan segar pasti menyambut ketibaan pengunjung sebaik menjejak kaki ke kawasan tanah tinggi itu.

Janda Baik bukan saja menyimpan khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai tetapi kampung tradisional dan perkampungan Orang Asli turut memberi pengalaman baru kepada pengunjung. Keunikan Janda Baik jika dieksploitasi dengan sebaiknya dapat menjadi tarikan utama pelancong ke Pahang.

Aktiviti homestay yang bermula sejak dua tahun lalu membabitkan 52 keluarga di empat kampung iaitu di Kampung Sum Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh dan Kampung Janda Baik menyediakan alternatif penginapan kepada pelancong berbajet rendah.

Sehingga kini, homestay terbabit menerima kunjungan pelancong dari Jepun, Sweden, Poland dan Korea.

Melalui program itu, pelancong bukan saja dapat menikmati keindahan alam semula jadi tetapi juga mengenali budaya penduduk setempat dengan lebih dekat. Selain empat kampung tradisional Melayu itu, ada sebuah perkampungan Orang Asli Semelai yang didiami 300 orang daripada 60 keluarga Orang Asli.

Kampung Baru Cina yang terletak di pintu masuk ke Janda Baik juga menjadi tarikan kepada pelancong terutama dari Singapura. Restoran di kampung itu menawarkan pelbagai juadah istimewa dan semakin menjadi sebutan di kalangan pelancong.

Tarikan terbaru, projek Tanarimba yang diusahakan Sitrac Corporation (Sitrac) turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelancong.

Kawasan seluas 2,387 hektar yang diberikan permit kepada syarikat itu dijadikan kawasan perlindungan eko pelancongan dan gunakan untuk tujuan rekreasi dan pendidikan. Sitrac melabur sejumlah RM70 juta bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan miliknya termasuk penyediaan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...